Thursday, July 30, 2009

APABILA DOA TIDAK DIMAKBULKAN......

Berdoalah, minta daripada Tuhan, itu yang selalu dipesan oleh emak. Saya berpegang pada kata-kata itu. Sejak kecil, apabila berdepan kesukaran kehidupan, itulah yang saya pegang.

Berdoa jangan putus, ulang emak lagi apabila saya mengeluh keletihan padanya. Kehidupan kami sekeluarga tidaklah sesenang mana, tetapi tidak juga semewah orang lain. Semasa kami tinggal di Kem, kamilah antara keluarga yang paling sederhana tetapi kami tidak pernah menyesali keadaan.

Dalam serba kekurangan itu, saya dan empat lagi adik masih mampu bersekolah, meskipun hanya sepasang pakaian dan sepasang kasut sahaja yang kami dapat untuk setahun. Kadang-kadang perasaan malu terhadap rakan-rakan pun ada. Tetapi... yang paling penting, saya mesti belajar bersungguh-sungguh. Keputusan UPSR sangat menggembirakan, semua A. Saya menyimpan cita-cita untuk ke MRSM. Tetapi emak menghalang, kerana kami bukan orang senang, tidak berkemampuan untuk menghantar ke sekolah sedemikian. Saya pasrah, mungkin ada rezeki di lain kali.

Bersekolah di sekolah biasa, tidak menghalang saya terus berusaha, masih menyimpan cita-cita untuk ke MRSM. PMR saya lalui dengan penuh debaran. Selepas peperiksaan, kami mengikut ayah yang berpindah ke pendalaman kerana mengikut emak yang berpindah tempat kerja.

Kami sekeluarga dipinggir oleh keluarga yang lain hanya kerana kami bukan orang senang. Setiap kali saya melihat airmata emak, setiap kali itu saya berdoa pada Tuhan, ubahlah nasib kami.......... Setelah SPM diumumkan, saya telah berjaya menempatkan diri di UiTM (dulu ITM). Dengan semangat ingin merubah nasib keluarga, saya nekad meneruskan pelajaran ke UiTM Shah Alam, tanpa ibubapa yang menghantar........... cuma pada Tuhan kami berserah. "Itu rezeki Tuhan berikan, kata emak. Mana tahu, Dia kesian tengok kita susah", kata emak.

Tamat pengajian Diploma, saya teringin menyambung ke peringkat Ijazah tapi teringatkan adik-adik, saya mengalah.Teramat sedih apabila rakan-rakan yang lain semua melanjutkan pelajaran. Apakan daya, keluarga saya susah. Biarlah adik-adik yang meneruskan perjuangan. Habis belajar, saya bekerja sebagai Guru Sandaran selama 1 1/2 tahun. Saya selalu kenangkan zaman remaja saya dahulu dan berkongsi dengan pelajar mengenai susah payah lama. Sekurang-kurangnya, sekarang saya telah berjaya mengubah nasib keluarga dan saya mampu menyediakan keperluan kedua ibubapa.

Allah tidak kabulkan doa saya untuk belajar setinggi yang mungkin, tetapi betapa kini saya bersyukur, Dia berikan sesuatu yang lain pada saya. Dahulu saya tidak nampak Hikmah itu, tetapi saya insaf dan sedar betapa segala yang Allah berikan, tidak sia-sia sama sekali.

Saya pernah terima e-mel dari seorang sahabat. Tersentak saya membaca e-mel tersebut ; ia mengingatkan kepada diri saya sendiri. Kisah seorang lelaki yang berdoa kepada Allah agar memberikannya bunga dan rama-rama. Namun keesokkan harinya, Allah berikannya sepohon kaktus berduri dan seekor ulat beluncas.

Si lelaki sedih, tidak faham mengapa pemberianNya berbeza daripada permintaannya. Tetapi dia kemudia terfikir untuk menyejukkan hati ; Allah mempunyai terlalu ramai umat untuk diuruskan, dan dia memutuskan untuk tidak mempersoalkannya lagi. Selepas satu tempoh, lelaki itu memikirkan semula permohonan doaanya yang telah lama dilupakan. Lelaki ini amat terperanjat apabila melihat dari pokok kaktuis yang hodoh dan berduri itu tumbuh sekuntum bunga yang cantik, dan daripada seekor ulat beluncas yang berselindunbg, telah bertukar menjadi seekor rama-rama yang cantik.

Subhanallah ! Allah sentiasa melakukan semua perkara dengan betul, walaupun pada mata manusia, kelihatan semuanya salah. Jika anda memohon dan menerima sesuatu yang lain dari Allah, percayalah pada kurnia itu. Pastinya Allah sentiasa mengurniakan apa yang dipinta sesuai pada masanya, yang anda pinta tidak semestinya apa yang diperlukan. Allah tidak akan gagal memenuhi permintaan umatNya yang sentiasa berdoa.

ISLAM, IMAN & IHSAN

Khalifah Umar al-Khattab berkata, suatu hari semasa dia dan para sahabat sedang duduk dengan Rasulullah, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian sangat putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tiada tanda-tanda beliau datang dari jauh. Tiada seorang pun antara mereka yang mengenali lelaki itu.
Lelaki itu lalu duduk betul-betul di hadapan Rasulullah sehingga kedua-dua lutut itu bersentuhan dengan lutut Rasulullah. Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas pahanya, lalu bertanya, "Wahai Muhammad, terangkan pada saya, apakah maksud Islam?"
Jawab Rasulullah "Islam itu adalah kamu mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu bersolat, kamu membayar zakat, kamu berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan kamu melakukan haji apabila mampu".
"Betul," kata lelaki itu. Kata Umar, semua mereka berasa hairan, mengapa pula lelaki itu bertanya dan kemudian menjawab, betul.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan padaku, apakah iman?"
Rasulullah menjawab, "Kamu percaya pada Allah, percaya malaikat, percaya kepada kitab suci, percaya pada utusan Allah, percaya pada hari akhirat dan percaya pada ketentuan Allah sama ada yang baik atau yang buruk."
"Betul," kata lelaki itu. Kemudia beliau bertanya lagi, "Terangkan pada saya apakah itu ihsan?"
Jawab Rasulullah, "Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak Allah dan apabila kamu tidak nampak Dia, kamu yakin Dia nampak kamu."
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan pada saya tanda-tanda akan berlaku kiamat ?"
Jawab Rasulullah, "Apabila hamba perempuan melahirkan majikan mereka sendiri. Apabila orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian dengan sempurna, orang-orang miskin dan penternak kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi."
Selepas mendengar jawapan Rasulullah, lelaki itu pun pergi. Umar terdiam sehingga Rasulullah terdiam sehingga Rasulullah berkata, Tahukah kamu Umar, siapa lelaki itu tadi ? Lelaki itu adalah malaikat Jibrail. Beliau datang untuk menerangkan kepada kamu semua mengenai agama kamu."
( Hadis Riwayat Imam Nawawi )