Saturday, August 20, 2011

Hanya Tahu Merajuk, Mengeluh dan Protes


Apabila masing-masing punya hala tuju tersendiri, seorang di universiti situ, seorang lagi di universiti sana. Maka perpisahan berlaku. Sudah mula kurang berhubung lantaran sibuk dengan tugasan yang menimbun. Apabila mesej yang dihantar tiada berbalas, hati mula menyangka yang bukan-bukan. Dia sudah sombong. Dia sudah lupakan aku.

Hanya tahu merajuk. Hanya tahu mengeluh. Satu kesalahan dengan mudah melenyapkan seribu kebaikan yang dahulu saling memberi dan saling menerima. Hanya mengerti untuk memprotes. Malas sudah menghantar pesanan lagi. Biarlah dia dengan dunianya. Padahal saudara di sana tidak putus-putus berdoa buat kebaikan dirinya walaupun khabar tiada berbicara.

Itu salah satu rajukan, keluhan dan protes dalam hidup.

Itu baru rajukan, keluhan dan protes dengan manusia.
Dengan Allah lagi hebat.

Melihat kekayaan harta orang lain, diri sendiri juga mahu kaya. Mahu kereta besar, mahu rumah besar, mahu duit yang banyak dan segala lagi harta dunia, merajuk. Mengapa mereka sahaja yang diberikan harta yang menimbun, mengapa aku tidak. Mengapa mereka sahaja yang makan yang sedap-sedap, tetapi aku hanya nasi dan lauk yang sama sahaja hari-hari. Mengapa mereka sahaja punya rumah besar cantik berhias tetapi mengapa aku hanya rumah kampung berkayu. Mengapa mereka punya perhiasan dan pakaian yang serba indah tetapi aku hanya punya pakaian yang sudah luntur warna lantaran kerap dibasuh. Perhiasan rumah tidak usah cakap, malu mahu dikira. Seribu keluhan terluah.

Rajukan dan keluhan membawa kepada protes.

Mahu kaya dengan senang. Sudah berani mencuri. Pecah rumah. Melakukan penipuan dengan segala perjanjian palsu. Memperdaya dan mendapat hasil haram. Amanah yang tergalas di bahu dengan mudah dihempas begitu sahaja. Pecah amanah dan memperoleh hasil haram. Riba usah dikira. Tidak dicampur dengan sindiket Along. Gila akan harta dunia. Gila akan kekayaan dunia. Gila akan duit berjuta-juta, rumah dan kenderaan mewah. Sehinggakan berani memprotes dengan anggota badan pemberian Allah sendiri.

Hanya tahu melihat ujian yang hakikatnya sengaja menduga keimanan hati.
Tertipu kerana mata hati sendiri yang buta.
Bukannya mahu melihat nikmat yang menggunung.

Tidak bersyukur dengan rumah selesa yang didiami, padahal masih ada di luar sana yang tiada berumah. Ada yang berpindah-randah tiada penempatan yang kekal. Ada yang sudah menganggap kaki lima bangunan cukup sebagai 'mahligai indah'. Tidak bersyukur dengan kenderaan yang sedia ada. Padahal ada di luar sana yang penat berjalan kaki berulang alik ke sana ke mari di tengah terik mentari mencari rezeki dan sesuap nasi buat anak-anak.

Tidak bersyukur dengan pakaian yang sedia ada yang sudah cukup untuk menutup aurat dengan sempurna. Padahal masih ada di luar sana, memakai pakaian yang cukup lusuh. Dengan pakaian yang sudah berkali-kali ditampal. Koyak, berlubang dan tampal lagi. Padahal ada di luar sana yang juga sengaja 'tidak punya kain lebih'.

Tidak bersyukur dengan rezeki makanan walaupun nasi dan lauk-pauk hampir berlainan setiap hari. Padahal ada di luar sana yang hanya mampu menelan air liur melihat senangnya mereka mengisi perut yang berkeroncong. Padahal ada di luar sana yang hanya punya nasi berlaukkan garam bagi mengalas perut yang lapar minta diisi. Malah, lagi menyedihkan, ada yang menjadikan siput babi sebagai santapan.

Masih juga mahu merajuk. Masih juga mahu mengeluh. Masih juga berani memprotes.
Sungguh hamba yang tidak tahu malu. Sombong.

Apabila berhadapan dengan cermin, melihat tubuh badan. Merajuk lagi. Mengapa badan aku tidak langsing seperti model. Mengapa aku makan banyak sangat sampai berat badan naik. Mengapa badan aku penuh lemak dan berisi. Aku juga mahu langsing. Sudah itu, wajah pula ditilik. Habislah, muka aku dah timbul satu jerawat. Warna kulit tak sekata. Mata sudah jadi panda, jelas kelihatan lebam bawah mata. Mengapa bulu mata tidak lentik seperti model. Mengapa bibir tidak merah merekah semulajadi. Mengapa kulit muka kasar dan tidak tegang. Mengapa kulit gelap dan penuh bintik-bintik hitam. Mengapa aku tidak cantik macam yang lain. Punya kulit putih melepak, mata bundar, senyuman manis dengan gigi tersusun rapi dan alis mata yang lentik. Seribu keluhan terluah.

Rajukan dan keluhan membawa kepada protes.

Mula menyedut lemak yang berketul-ketul. Mahu langsing. Tidak mahu makan nasi sehingga muka kering seperti orang yang sakit. Sengaja menyeksa diri. Berhabis duit untuk membeli bermacam produk dan pil pelangsing badan. Melakukan pembedahan plastik. Ingin memancungkan hidung yang penyek. Ingin kulit muka yang tegang, gebu dan halus. Kening habis dicukur dan diukir kembali. Tidak cukup dengan itu, mula pula memakai susuk. Duit juga sudah beribu-ribu malah berjuta, berhabis hanya untuk botox.

Hanya tahu melihat ujian yang hakikatnya sengaja menduga keimanan hati.
Tertipu kerana mata hati sendiri yang buta.
Bukannya mahu melihat nikmat yang menggunung.

Apabila melihat cermin, bukannya bibir pantas mengucap Alhamdulillah dan membaca doa. Sebaliknya, mata hanya cepat menangkap bintik-bintik hitam di wajah. Bukannya mahu meneropong hati yang penuh titik-titik hitam. Mata cekap menangkap tona wajah yang tidak sekata, pantas melihat panau. Bukannya mahu melihat hati yang penuh bertempek dengan debu-debu dosa. Kecantikan luar terlalu lebih dititikberatkan sehingga menyebabkan kecantikan dalaman terabai.

Kaki mudah melangkah menuju pusat kecantikan. Namun, payah bagi kaki untuk melangkah menghadiri ceramah-ceramah yang hanya diberi secara percuma di masjid. Sanggup berhabis duit ribuan malah jutaan ringgit semata-mata mahu melihat penampilan di luar cantik dan sempurna dari segenap segi. Bukannya mahu dilaburkan pada rumah-rumah anak yatim sebagai bekalan di Akhirat sana. Bukannya mahu menghabiskan duit memberi sumbangan kepada rumah-rumah orang tua.

Namun begitu, masih tidak bersyukur, sedikit yang begitu ingin melihat kecacatan hati sendiri. Berani mencabar Allah dengan tidak menutup aurat dengan sempurna. Langsung tiada bersalah memaparkan gambar yang bisa meruntun Iman dan hati si pria. Masih juga ingin mengubah segala yang ada. Ingin mengubah segala yang sudah cukup sempurna. Padahal di luar sana, ada yang begitu menghargai tubuh badan yang sedia ada walaupun tangan telah kudung. Begitu menghargai kaki yang sudah lumpuh. Tidak tambah lagi dengan penyakit misteri pada muka dan kulit.

Masih juga mahu merajuk. Masih juga mahu mengeluh. Masih juga berani memprotes.
Sungguh hamba yang memang tidak tahu malu. Sombong.

Diri mudah melihat kelebihan pada orang lain. Merajuk yang tiada berkesudahan. Mengapa aku tidak pandai seperti dia, asyik mendapat keputusan yang rendah dalam peperiksaan. Mengapa aku tidak pandai berpidato seperti dia. Mengapa aku begitu lemah dan tidak berjaya menempatkan kedudukan dalam kelompok pelajar cemerlang seperti dia. Asyik dia sahaja yang menang tempat pertama. Asyik dia sahaja yang dapat "4 flat". Aku ini tiada kelebihan. Tidak adil. Seribu keluhan terluah tanpa sedar.

Rajukan dan keluhan membawa kepada protes.

Kerana terlalu mengikut hati yang sering tidak berpuas hati, usaha entah ke mana. Jika mendapat keputusan yang rendah dalam peperiksaan, sungguh mudah mengangkat bendera putih. Malas sudah belajar, lebih baik merempit. Lebih baik mengedar dadah. Andai gagal dalam SPM, mengambil keputusan untuk membunuh diri. Mengambil tali dan menggantung diri. Memanjat tangga bangunan dan terjun.

Hanya tahu melihat ujian yang hakikatnya sengaja menduga keimanan hati.
Tertipu kerana mata hati sendiri yang buta.
Bukannya mahu melihat nikmat yang menggunung.

Seharusnya berusaha mencari kelebihan diri, bukan begitu mudah menyerah kalah. Allah tidak begitu kejam menjadikan manusia itu hanya dipenuhi keburukan dan kekurangan. Hati mudah menyalahkan Dia. Hati mudah mengatakan Dia tidak adil. Bukannya mahu membongkar kekuatan diri untuk menjadikan diri lebih baik. Yang dipandang hanya kelebihan orang lain yang lebih. Merungut. Mata hati tertutup daripada terpandang anugerah daripada Allah yang sudah ada dalam diri.

Seharusnya menginsafi diri. Mencontohi mereka yang kekurangan anggota tetapi masih boleh menempatkan diri antara yang cemerlang. Seharusnya mengikut jejak langkah mereka yang cekal berusaha mencari mutiara ilmu walaupun nikmat mata ditarik. Ya, buta. Padahal di luar sana, masih ada yang tiada berpeluang menimba ilmu di sekolah apatah lagi menjejakkan kaki di menara gading lantaran kesempitan hidup. Padahal di luar sana, ada yang begitu berkobar semangat ingin menadah ilmu tetapi tiada berkesempatan lantaran terlantar kesakitan, tiada mampu bergerak.

Masih juga mahu merajuk. Masih juga mahu mengeluh. Masih juga berani memprotes.
Sungguh hamba yang memang tidak tahu malu. Begitu sombong.

Terkadang kita sakit sedikit, sudah begitu mudah merajuk, mengeluh dan memprotes.
Mengapa mudah melihat ujian, sedangkan nikmat-Nya sudah begitu menggunung.
Diuji sedikit sahaja tidak boleh. Dikata Allah tidak adil. Mengapa tidak melihat pada pemberian nikmat yang lebih besar daripada ujian yang melanda?

Terkadang kita yang gagal dalam peperiksaan mahupun ujian pelajaran sedikit sudah begitu mudah merajuk, mengeluh dan memprotes.
Mengapa mudah melihat ujian, sedangkan nikmat-Nya sudah begitu menggunung.
Diuji sedikit sahaja tidak boleh. Dikata Allah tak sayang. Mengapa tidak melihat pada pemberian nikmat yang lebih besar berbanding ujian yang menimpa diri?

Terkadang begitu manja, segalanya mahu lebih. Makanan tidak sedap sedikit sudah begitu mudah merajuk, mengeluh dan memprotes.
Mengapa mudah melihat ujian, sedangkan nikmat-Nya sudah begitu menggunung.
Diuji sedikit sahaja tidak boleh. Dikata Allah kedekut. Mengapa hati begitu buta tidak melihat pada pemberian nikmat yang sudah begitu banyak berbanding ujian yang sedikit?

Wahai hamba yang mewah bergelimang dengan nikmat, berhentilah merajuk. Hentikan keluhanmu. Cukuplah memprotes. Dia sudah begitu Pemurah dan Penyayang memberi, tetapi hamba yang tidak tahu malu dan sombong ini sedikit sahaja yang bersyukur. Hamba yang tidak tahu malu dan sombong ini sangat mudah mengeluh dengan ujian yang secubit cuma berbanding kenikmatan yang melimpah ruah. Nikmat yang antara sedar atau tidak. Kerana begitu banyak dan menggunung. Apakah masih juga mahu merajuk? Apakah masih juga mahu mengeluh? Apakah masih juga memprotes? Walaupun hakikatnya ujian itu tanda sayangnya Dia?

Jika mata hati terbuka melihat segala nikmat yang menggunung tinggi, pasti menjadi hamba yang bersyukur dan qana'ah dan berhenti daripada terus merajuk, mengeluh dan memprotes,

Jika mata hati terbuka melihat segala nikmat yang menggunung tinggi, sudah pasti diri malu kerana tiada terpikul walau ujian yang sedikit cuma kerana menyedari betapa Dia begitu Pemurah.

Jika hati terasa letih dengan ujian, lihatlah nikmat-Nya yang sudah begitu menggunung. Pantaslah untuk berasa malu dengan diri sendiri. Betapa hamba ini begitu mementingkan diri.

Apabila diberi nikmat, sedikit tanda bersyukur.
Tetapi apabila ditimpa ujian, seribu keluhan terluah.

Satu kesalahan dengan mudah memadam seribu kebaikan.
Satu ujian dengan mudah melenyapkan seribu nikmat.

Dalam usaha menaiki tangga ke Syurga, ujian itu perlu setelah pemberian nikmat yang begitu melaut.
Sungguh, bahagialah apabila diuji....

Ramadhan Hampir Pergi, Hadiah Menanti


Puasa Ramadhan adalah tetamu, siapa yang melayannya dengan baik maka berjayalah puasanya. Sebelum tetamu ini pergi meninggalkan kita, Allah akan memberi satu hadiah yang istimewa iaitu Lailatul Qadar. Selepas ini (Ramadhan), tiada lagi gandaan pahala ibadat misalnya gandaan 70 kali ganda bagi setiap amalan sunat. Selepas ini amalan diganda mengikut kadar biasa.

Apabila Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang bagaimana Bani Israel berjihad dan mengangkat pedangnya selama 83 tahun, para sahabat merasa dukacita dan terkilan mengenangkan mereka tidak mampu berbuat demikian. Maka Allah menghadiahkankan malam ini kepada kita umat Muhammad s.a.w.

Allah memberikan hadiah Lailatul Qadar ini bagi mempermudahkan kita memasuki Syurganya. Allah ingin mewariskan Syurga ini kepada kita sepertimana tanah yang diwariskan oleh mereka yang telah meninggal dunia: al-A'raf [43]... "Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan."

Lailatul Qadar ini adalah malam yang sangat mulia, ia diberi perhatian khusus oleh Allah s.w.t sehingga dilipatgandakan pahala sehingga 1,000 bulan. Apa jua ibadat yang dilakukan ketika itu samada bertasbih, sembahyang sunat, membaca quran bahkan berfikir tentang kebesaran Allah juga digandakan 1,000 bulan atau 84 tahun. Sayyidina Abu Bakar r.a. memikirkan bagaimana caranya menutup Neraka agar manusia tidak terjatuh ke dalamnya, maka kata Rasulullah s.a.w. "Pemikiran kamu ini umpama beribu tahun ibadat".

Cari dan dapatkanlah malam yang boleh menaikkan makam atau pangkat kedudukan kita di Akhirat nanti. Ia adalah hadiah dan percuma daripada Allah yang Maha Pemurah. Allah itu Pemurah pada setiap masa bukan seperti kita yang hanya pemurah bila banyak wang sahaja.

Jikalau mendapat Lailatul Qadar, bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan kerana ia adalah satu hadiah daripada Allah sebelum Ramadhan pergi meninggalkan kita. Tangisilah pemergian tetamu Ramadhan yang akan pergi meninggalkan kita di saat kita cuba untuk rapat dengannya dan dapatkanlah hadiah Lailatul Qadar sebelum ia berlalu pergi.

هَـٰذَا هُدًى ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ
Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Jathiyah 45: Ayat ke 11)

Tuesday, August 16, 2011

TABIR RAMADHAN


Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada'gencatan senjata' ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai'senjata' tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, 'mentor' nafsu yang utama yakni Syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.

Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.

Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.

Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.

Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia dan langkah itu boleh dioptimumkan dalam bulan puasa. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mengubah masyarakat jahiliah adalah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Inilah yang dikatakan oleh Profesor Dr. Hamka, "Nabi Muhammad berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia."Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya. Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu 'anhu bahawa Rasulullah SallAllahu 'alahi Wasallam bersabda:

"ALLAH 'Azza wa Jalla berfirman: "Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-KU dan AKU yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/ berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa". Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-NYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua (2) kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa." [Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
(Surah Ar-Ra'd 13: Ayat ke 22)

Salam Ramadhan

Assalamualaikum, dah terlalu lama tidak membuat apa2 perkongsian dalam blog ini. Di bulan Ramadhan yg barakah ini, sedikit perkongsian berkenaan bulan mulia ini buat semua. Dua tahun saya meninggalkan blog ini, pelbagai dugaan dan rezeki yang telah Allah berikan. Saya yakin, Allah tetap ada perancangan untuk saya, mungkin sekarang bukan masanya untuk Dia memberikan rezeki itu...Insyaallah, dengan kesabaran, mungkin Allah akan lipat gandakan rezeki itu...